Thursday, November 27, 2008

Merancang masa untuk capai kejayaan

Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS

LANGKAH kakiku semakin hampir membawaku ke dewan peperiksaan itu. Inilah kertas terakhir yang aku perlu duduki buat semester ini. Tetapi kertas terakhir inilah juga yang amat mencetuskan rembesan hormon adrenalin dalam diriku. Impaknya, jantungku berdegup laju, perutku terasa kecut, aduhai, bimbangnya aku!

Bimbang kerana aku agak culas berusaha bagi subjek tersebut. Segala konsep yang diajar oleh pensyarahku tidak begitu aku hadamkan sebaik-baiknya. Kini, segala konsep itulah yang bakal ditanya kembali dalam peperiksaan ini. Entah bagaimana bakal kujawab soalan yang diberikan nanti..Bismillahi tawakkaltu a’lallah!

Tiga jam berlalu

Pegawai peperiksaan membenarkan semua pelajar keluar dari dewan selepas semua kertas jawapan dikumpulkan. Alhamdulillah... Lega rasanya kertas peperiksaan terakhir bagi semester ini sudah selamat aku duduki. Aku juga dapat menjawab soalan-soalan yang diberi dengan baik.

Walau bagaimanapun, jauh di sudut hatiku terselit sedikit ralat. Soalan yang diberikan tidaklah sesukar mana, cumanya aku akui bahawa usaha yang ku curahkan terhadap subjek tersebut begitu kerdil. Andai aku buat lebih banyak pembacaan dan latih tubi, mungkin jawapanku dalam peperiksaan itu akan lebih meyakinkan.

Tatkala lintasan kecewa yang dikenang semakin menghambat menjadi kesal, cepat-cepat kusuntikkan fikir reda buat penawar kesal yang bercambah dalam mindaku. Aku yakin, segala ketentuan Allah itu ada hikmahnya, dan Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya.

Atas kesempatan yang Allah berikan untuk aku berusaha, telah pun aku harungi dengan daya yang ada. Setelah berusaha sedaya mungkin, kini aku ingin memperbanyakkan berdoa agar usahaku diberkati serta dikurniakan kesudahan yang baik.

Aku tidak punyai upaya lagi untuk berusaha bagi perkara yang sudah lalu. Namun insya-Allah, aku masih punyai kudrat untuk memilih tindakanku buat masa kini dan juga akan datang. Ahh, tidak sabar pula rasanya untuk menghadapi semester baru!

Cuti semester bermula

Kini cuti semester sudah bermula. Inilah masanya untuk aku berehat sebentar daripada kesibukan menghadapi proses pembelajaran di universiti. Untuk tempoh sebulan ini, tiada lagi sesi syarahan, pembentangan, tugasan dan peperiksaan yang perlu ku hadapi seperti biasa.

Cuti ini merupakan waktu untuk aku menyegarkan minda, melapangkan fikiran. Cuti ini juga adalah peluang untuk aku mengisi masa demi lapangan lain dalam hidupku yang tidak sempat ku tumpukan ketika semester sedang berlangsung.

Kehidupan yang holistik bagi seseorang pelajar bukan sahaja bermaksud berusaha mengejar kecemerlangan akademik semata-mata. Aspek-aspek lain juga perlu disuburkan agar pembinaan peribadi dan jati diri berjalan dengan seimbang.

Pada cuti ini aku mahu bertemu ibu bapaku, adik-beradikku, sanak saudara dan rakan-rakan. Tampaknya aku perlu merencana ziarah agar insan-insan penting dalam hidupku dapat ku temui dan bertanya khabar mereka. Moga dengan ziarahku nanti dapat memelihara ukhuwah kami dan menambahkan mahabbah antara kami.

Aku juga mahu melawat ke destinasi pelancongan, moga di situ aku dapat menikmati keindahan alam sekitarnya, mahupun seni binanya. Semoga dengan hal tersebut, aku dapat melihat alam sebagai tanda kebesaran Allah Yang Maha Pencipta lagi Maha Bijaksana.

Di samping itu aku juga berharap agar dapat mengenali tradisi dan budaya masyarakat setempat, serta memahami pandangan hidup mereka, agar dapat meneladani sesuatu yang baru dan ‘jernih’, lantas menjadikan ‘elemen yang keruh’ itu sebagai sempadan.

Persiapan semester baru

Pada masa yang sama, aku berfikiran bahawa aku juga perlu membuat sedikit sebanyak persediaan untuk menghadapi pembelajaran pada semester baru yang bakal menjelang. Dalam proses ini, aku perlu melakukan muhasabah diri secara jujur terhadap bagaimana sikapku terhadap pelajaranku sepanjang semester lepas.

Antara simptom yang dapat ku kenal pasti ialah kelewatan dalam menghantar tugasan, kebimbangan atau tekanan yang ketara untuk menghadapi peperiksaan dan kehilangan tumpuan dalam kelas semasa pensyarah sedang mengajar.

Natijahnya ialah kesan terhadap gred dan markah yang ku peroleh daripada pensyarah serta sejauh mana kefahaman yang ku peroleh daripada subjek yang diambil. Namun akar punca atas semua ini bertitik tolak daripada sikapku sendiri terhadap pelajaran.

Aku berasakan bahawa aku mampu untuk meningkatkan produktiviti dalam pelajaranku dan juga kehidupanku secara keseluruhan andainya aku punyai satu sistem pengurusan masa yang efektif dan efisien. Persoalannya bagaimana?

Kaedah pengurusan masa

Setiap orang itu mempunyai kaedah pengurusan masa yang tersendiri. Bagi mereka yang mempunyai tugasan rutin mungkin sudah memadai dengan mengingati apa yang perlu dilakukan setiap hari.

Bagi mereka yang mempunyai komitmen yang pelbagai yang mana sekiranya tidak direkodkan, berkemungkinan besar perkara tersebut mungkin dilupakan dan seterusnya memberi kesan terhadap perjalanan kerja sendiri ataupun pihak lain.

Justeru, adalah baik sekiranya aktiviti merekodkan senarai tugasan atau mesyuarat itu dibuat serta terdapat mekanisme peringatan untuk mengingatkan kembali berkenaan komitmen tersebut.

Aku telah menemui pelbagai kaedah pengurusan masa daripada pelbagai rujukan. Ada kaedah yang berdasarkan penggunaan kertas seperti diari atau sekadar sehelai kertas, dan ada yang berdasarkan penggunaan alat elektronik seperti telefon bimbit, pembantu digital peribadi (PDA) ataupun komputer.

Ada kaedah yang telah ku cuba, ada yang ku rasakan sesuai untukku dan ada yang tidak. Namun daripada pengamatanku, apa jua kaedah tersebut, ia kekal sebagai alat yang membantu diriku merencana apa yang patut dilakukan pada masa kini dan seterusnya.

Yang lebih penting ialah kesedaran untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim dan profesionku iaitu sebagai seorang pelajar. Aku yakini dengan mencapai keseimbangan kedua-dua aspek maka seseorang itu tidak hanya menjadi seorang Muslim yang baik tetapi juga seorang pelajar yang cemerlang.

Kesimpulan

Proses pembelajaran berkait rapat dengan pengurusan waktu. Seorang pelajar Muslim yang baik sentiasa mempunyai sikap peka terhadap tanggungjawabnya serta meletakkan keutamaan yang tinggi terhadap pelajarannya.

Hal ini seterusnya menjadikan pelajar tersebut berhasil memberikan fokus kepada pelajarannya di samping tidak mengabaikan pembinaan peribadi dan sahsiah yang terpuji.

Utusan, 27 Nov 2OO8

Saturday, November 8, 2008

Kaburnya Sebuah Amanah Dizaman Ini

DARIPADA Huzaifah, katanya: "Diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kami dua hadis; salah satu daripadanya sudah saya lihat kenyataannya; dan sekarang saya sedang menunggu kenyataan hadis kedua.

"Hadis pertama, bahawa amanah itu turun lalu masuk ke lubuk hati orang, kemudian turun al-Quran lalu menjadi pedomannya, demikian pula sunah Rasulullah SAW.

"Hadis kedua, mengenai pencabutan amanah. Kata Rasulullah SAW: Seseorang tidur sekejap lalu dicabut amanah daripada hatinya dan tinggallah bekasnya seperti titik yang kecil; kemudian ia tidur pula lalu dicabut lagi sisa amanah itu dan hanya tinggal seperti bengkak kecil di telapak tangan yang timbul selepas mengerjakan sesuatu dengan memakai kapak atau sebagai bengkak di kaki kerana memijak bara, isinya hanya sedikit cairan.

" Pada masa itu kelak hampir saja tidak ada lagi amanah dalam masyarakat sehingga dikatakan: Oh, di sana ada orang yang amanah; kata orang kepadanya; alangkah sabarnya, alangkah baiknya, alangkah cerdiknya; tetapi sebenarnya batin orang itu kosong keimanan.

"Kata Huzaifah: Pada masa silam, zaman kejujuran itu sudahku alami, sehingga saya biasa berniaga dengan siapa pun; jika dengan orang Muslim ia jujur kerana agamanya, jika dengan orang Nasrani atau Yahudi maka kejujuran itu ada di tangan atasannya.

" Adapun zaman sekarang, aku tidak mahu lagi berniaga kecuali dengan si Anu dan si Anu (kerana amanah)." (Hadis riwayat Muslim)

**Kadang2 terfikir susah juga menjadi manusia.. em.. tapi itulah hakikatnya kita hidup dan bergerak di bumi Tuhan ini ada sebab dan hikmahnya yg kadang2 sebenarnya atau mungkin kita tidak ketahui.. tapi yg jelas hidupnya kita didunia ini adalah berdasarkan firman Allah :

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku."(Adz-Dzariat 51:56)

berdasarkan maksud firman Allah diatas, adalah merupakan salah satu pemberian amanah dari Dia kepada manusia yang di cipta dibumi tuhan ini dan orang2 yang beriman akan memegang amanah tersebut dengan melafazkan ikrar dalam solat 5 waktu yang didirikan. Seperti firmanNya yang bermaksud :

"Katakanlah : Sesungguhnya salat, ibadah, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam."(Al-An'aam 6:162)

Jadi, apa2 yang kita lakukan didunia ni lakukan semata-mata kerana-Nya.. Fikirkan Kesan Diakhirat Nanti, Apabila Melakukan Tindakan Didunia.. ;-)